Infomalaya

20 November 2023

CPE TECHNOLOGY CADANG KUMPUL RM179.58 JUTA DARI IPO


KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) — CPE Technology Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran Utama bercadang mengumpulkan sebanyak RM179.58 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) yang dijadualkan pada 7 Dis 2023 untuk memacu pelan pengembangannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Lee Chen Yeong berkata objektif firma penyedia perkhidmatan sokongan kejuruteraan itu untuk disenaraikan adalah bagi mempercepatkan pertumbuhan dan potensinya.

“Sebahagian besar hasil akan disalurkan ke arah pembinaan kilang baharu dan pembelian mesin serta peralatan untuk mengoptimumkan pengeluaran bagi menampung permintaan yang semakin meningkat, di dalam dan luar negara,” kata Lee pada pelancaran prospektur syarikat itu hari ini, sambil menambah bahawa ia mempunyai tempahan dalam tangan yang belum dibilkan sebanyak RM69.27 juta.

Sebahagian daripada hasil akan digunakan untuk membeli bahan mentah seperti keluli tahan karat dan aluminium daripada pembekal luar negara. 

Beliau berkata penstokan bahan mentah itu di tapak akan membantu CPE Technology mengekalkan bekalan yang mencukupi di samping mengurangkan peningkatan dalam kos penghantaran akibat turun naik harga.

Sejumlah RM69.60 juta daripada hasil IPO akan dipakai bagi membeli tanah perindustrian serta pembinaan kilang baharu; RM32.88 juta untuk jentera dan kelengkapan baharu selain penempatan semula mesin serta kelengkapan sedia ada; RM17.45 juta untuk membayar balik pinjaman bank; RM46.91 juta sebagai modal kerja; RM1.42 juta untuk perbelanjaan modal dan RM11.32 juta bagi perbelanjaan penyenaraian.

Menurut prospektus syarikat, berdasarkan harga terbitan RM1.07 sesaham dan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 671.31 juta saham, syarikat itu akan mempunyai permodalan pasaran mencecah RM718.31 juta.

Katanya lagi, jumlah industri sokongan kejuruteraan Malaysia (ESI) bernilai RM9.98 bilion pada 2023 berbanding RM9.37 bilion yang dicatatkan setahun sebelum ini, dengan CPE Technolgy mempunyai 1.55 peratus bahagian dalam pasaran pada 2022, menjana pendapatan sebanyak RM145.35 juta.

Firma itu berkata ESI akan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun sebanyak 8.2 peratus untuk mencecah paras RM13.88 bilion menjelang 2027 dengan kemajuan teknologi dan pengembangan dalam pasaran pengguna akhir untuk merangsang pertumbuhan.

Beliau berkata terdapat cabaran dalam industri semikonduktor tetapi pasaran kekal kukuh.

— BERNAMA 

 

 



BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan RM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial



Source link

Sumber

Dapatkan hebahan artikel terkini melalui Whatsapp & Telegram