Idea untuk mengadakan kempen kesedaran scam ini timbul selepas saya terbaca dua keratan akhbar iaitu Student falls victim to Net scam dan Millions lost in e-invest scam. Artikel pertama tersebut menceritakan bagaimana seorang pelajar berusia 20 tahun ditipu duit sebanyak RM148,000. Apa yang membingungkan saya ialah dia ditipu oleh sindiket yang sama dua kali berturut-turut. Baru-baru ini, satu kes scam juga baru dilaporkan dalam akhbar bertajuk, “Betting on ‘winning digits’ led deliveryman to lose everything“.
Pelbagai usaha telah diambil untuk memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang scam. Namun, kes-kes sebegini masih berlaku. Ini adalah disebabkan sikap tamak si mangsa. Selain itu, saya percaya kempen kesedaran yang diadakan selama ini adalah kurang berkesan.
Maka, tercetuslah idea untuk mengadakan kempen kesedaran scam melalui blog. Pengaruh blog adalah besar. Ramai rakyat Malaysia membaca blog untuk mendapatkan berita atau maklumat terkini. Oleh itu, saya percaya mesej kempen ini dapat disalurkan kepada suatu kumpulan pembaca yang besar.
Harapan saya adalah untuk mendapatkan sekumpulan blogger yang sanggup menyertai kempen ini. Bagi sesiapa yang ingin turut serta, anda cuma perlu menulis sekurang-kurangnya satu artikel tentang scam setiap hujung bulan (contohnya 31/5, 30/6, 31/7 dsb.). Kandungan artikel tersebut bergantung kepada anda sendiri. Anda boleh menulis tentang cara mengenalpasti scam, teknik-teknik scam terkini, dan sebagainya.
Kempen kesedaran ini terbuka kepada semua, tidak kira sama ada anda rakyat Malaysia atau tidak. Ini adalah kerana kes scam berlaku di seluruh dunia. Berikut adalah senarai blog yang telah menulis tentang scam:
1. Lottery Scam (Bahasa Cina)
2. Buat duit dengan mudah di’internet?Baca ini dulu! (Bahasa Melayu)
3. Of scams and pissing them off (Bahasa Inggeris)
4. Lampe Berger (Bahasa Inggeris)
5. This is NOT a scam? (Bahasa Inggeris)
Harapan asal saya adalah supaya tidak berseorangan dalam kempen ini. Sekarang, saya berharap dapat menggandakan bilangan ahli dalam kempen ini.